Panduan Beli Rumah Pertama

Memiliki rumah tidak semestinya perlu besar, cantik, baru mahupun mahal, tetapi perlu dilihat kepada ketebalan poket individu itu sendiri. Membeli rumah juga tidak susah mana. Hanya perlu disiplin dalam pengurusan kewangan dan juga mengehadkan kehendak seperti gajet mewah dan juga kad kredit.

Antara panduan membeli rumah pertama ialah:

Bayaran ke atas hartanah

Deposit Rumah

  • Deposit 10% 

Deposit 10% adalah wajib untuk sebuah rumah. Ini kerana rata-ratanya bank hanya memberikan pinjaman sebanyak 90% sahaja.

Walau bagaimanapun, anda juga perlu menyediakan lebih dari 10% deposit rumah untuk menampung kos perjanjian jual beli rumah, perjanjian pinjaman, yuran penilaian dan kos lain.

  • Cukai 

Selain daripada itu, pembeli hartanah juga akan dikenakan bayaran lain seperti cukai taksiran, cukai tanah, yuran penyelenggaraan, yuran sinking fund, yuran pengurusan, yuran keselamatan dan kos-kos lain.

Pembeli mesti mengetahui kadar bayaran yang dikenakan, tempat bayaran, tempoh dan jika ada pelepasan yang boleh didapati daripada badan yang mengenakan bayaran.

Sebagai contoh, cukai taksiran perlu dibayar 2 kali setahun (sebelum bulan Mac dan sebelum bulan September setiap tahun) dan perlu dibayar kepada Pihak Berkuasa Tempatan kawasan. Cukai taksiran ini boleh mendapat pelepasan jika syarat-syarat tertentu dipenuhi.

Pegangan Hartanah  

Pembeli perlu mengetahui risiko-risiko berkaitan dengan pegangan hartanah. Antara jenis pegangan hartanah ini ialah:

  • Pajakan (leasehold)

Pegangan ini adalah untuk suatu masa yang tertentu dan mempunyai tarikh luput.

  • Pegangan bebas (freehold)

Pegangan jenis ini ialah untuk selama-lamaya dengan syarat perkara-perkara yang tersabit dilunaskan mengikut Kanun Tanah Negara (termasuk membayar cukai tanah dan lain-lain)

  • Freehold with consent

Penukaran hakmilik mestilah mendapat kebenaran oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN), dan proses ini biasanya mengambil masa jika ingin melakukan jualbeli.  Terdapat risiko proses jualbeli tidak boleh diteruskan jika tidak menepati syarat yang dikenakan oleh PBN.

Pembeli mesti menyedari biasanya terdapat sekatan keatas hartanah jenis pajakan dan ‘freehold with consent’.

Bumiputera, Bukan Bumiputera dan Rezab Melayu

Pembeli mesti mengetahui apakah risiko-risiko berkaitan status hartanah yang dibeli, sama ada status bumiputera, bukan-bumiputera, atau Rezab Melayu.

Secara amnya, status tersebut adalah ‘self-explanatory’, bermakna hartanah jenis bumiputera hanya layak untuk pemilik bumiputera (termasuk bumiputera Sabah/Sarawak) manakala hartanah status Rezab Melayu hanya layak untuk kaum Melayu Semenanjung Malaysia.

Geran Induk/Individu/Strata

Geran atau ‘hakmilik’ hartanah ialah sehelai dokumen yang menyatakan perihal hartanah dari segi jenis pegangan, lokasi, saiz, pemilik, sekatan kepentingan jika ada, dan lain-lain.

Bagi geran yang masih geran induk (master  title), nama pemilik perseorangan tidak terdapat pada geran tersebut, sebaliknya terdapat nama pemaju pada geran itu.

Geran individu ialah hakmilik bagi hartanah jenis ‘landed’, manakala hakmilik strata ialah hakmilik ke atas suatu petak dalam bangunan berbilang tingkat di atas sekeping tanah.

Secara amnya, sesebuah hartanah yang sudah ada hakmilik sendiri sama ada individu atau strata lebih senang untuk dijualbeli kerana proses jualbeli adalah lebih mudah kerana lebih disukai dan lebih mudah mendapat pembiayaan.

Sesebuah hartanah yang sepatutnya sudah mempunyai hakmilik strata tetapi masih gagal mendapatkannya lebih berisiko gagal mendapat pembiayaan jika berlaku jualbeli, lebih-lebih lagi jika usia hartanah itu melebihi 10 tahun.


Artikel ditulis oleh Senior REN Rescom Hasnida Binti Muhammad Daud dan Roslena Binti Roslan

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )